Jom Follow..

Thursday 13 February 2014

~DAP Paling Teruk, Tidak Beretika… Langgar Peraturan ROS, Langgar Perlembagaan Parti Sendiri..!?!

KOTA KINABALU, 11 Feb – Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Tun Said Keruak hari ini membidas tindakan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi memohon perintah membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang menghalang pengiktirafan Jawatan Eksekutif Pusat (CEC) baru-baru ini.
Menurut beliau, apa yang jelas hari ini ialah segala permasalahan berhubung pemilihan CEC itu adalah hasil daripada aduan ahli-ahli parti DAP sendiri kepada ROS dan bukannya sengaja dilakukan ROS sendiri.
“Begitu banyak aduan yang diterima oleh ROS daripada ahli-ahli parti DAP sendiri. Antaranya tempoh notis yang tidak mencukupi, 800 lebih perwakilan yang layak mengundi tidak dijemput untuk pemilihan semula dan banyak lagi.
“Malah, ahli-ahli mereka sendiri berasa sangsi dengan kaedah pemilihan dan mengesyaki bahawa adanya penipuan dan manipulasi undi yang terjadi pada hari pemilihan. Jelas, bahawa segala aduan ini datang dari ahli mereka sendiri dan ROS hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai sebuah agensi yang memantau ketelusan perjalanan sesebuah pertubuhan,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Justeru itu, tindakan memfailkan permohonan bagi menghalang pengiktirafan ROS itu merupakan satu tindakan yang menurut Salleh sebagai satu cubaan untuk memperlihatkan kepada rakyat dan penyokong mereka, seolah-olah kepimpinan DAP yang menjadi mangsa dalam soal ini.
“Sedangkan pemimpin-pemimpin parti dan juga ahli DAP sendiri yang merupakan penyebab kepada berlakunya segala perkara yang akhirnya mengakibatkan kepada pemilihan CEC kali kedua ini tidak diiktiraf oleh ROS.

“Ternyata, DAP cuba untuk mencipta satu senario yang menggambarkan seolah-olah mereka ini menjadi mangsa kepada ROS bagi mendapatkan simpati ahli, penyokong dan rakyat sedangkan hakikatnya pemimpin mereka sendiri yang melanggar undang-undang serta terus berdegil dan enggan membetulkan segala kesilapan mereka,”jelasnya.
Kata Salleh lagi, DAP sengaja menuduh ROS menzalimi parti tersebut dengan mencari pelbagai alasan untuk tidak mengiktiraf pemilihan CEC mereka yang diadakan kali kedua, semata-mata untuk mengalihkan segala kelemahan, kepincangan dan ketidaktelusan mereka kepada pihak lain, khususnya kerajaan BN.
“Saya lihat, tindakan itu adalah cubaan DAP untuk mengalihkan kesalahan mereka kepada pihak lain. Pemimpin DAP, sepatutnya menjelaskan mengapa perkara ini berlaku dan mengapa tidak ada sebarang pembetulan kesilapan yang mereka lakukan di dalam pemilihan CEC ini seperti yang telah diminta oleh ROS berkal-kali.
“Saya mahu memperingatkan DAP bahawa UMNO sendiri sebagai parti pemerintah tidak pernah terkecuali daripada mengikuti peraturan dan undang-undang sepertimana yang berlaku dalam krisis UMNO pada tahun 1988.

“Tetapi apa yang dilakukan oleh kepimpinan DAP sebenarnya adalah lebih teruk dan tidak beretika kerana DAP bukan saja melanggar peraturan ROS tetapi sebenarnya kepimpinan parti tersebut telah melanggar perlembagaan parti mereka sendiri,” akhiri beliau. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment