KOTA KINABALU, 11 Feb – Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri
Dr. Salleh Tun Said Keruak hari ini membidas tindakan Parti Tindakan Demokratik
(DAP) yang memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi memohon perintah
membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang menghalang pengiktirafan
Jawatan Eksekutif Pusat (CEC) baru-baru ini.
Menurut beliau, apa yang jelas hari ini ialah segala permasalahan berhubung
pemilihan CEC itu adalah hasil daripada aduan ahli-ahli parti DAP sendiri kepada
ROS dan bukannya sengaja dilakukan ROS sendiri.
“Begitu banyak aduan yang diterima oleh ROS daripada ahli-ahli parti DAP
sendiri. Antaranya tempoh notis yang tidak mencukupi, 800 lebih perwakilan yang
layak mengundi tidak dijemput untuk pemilihan semula dan banyak lagi.
“Malah, ahli-ahli mereka sendiri berasa sangsi dengan kaedah pemilihan dan
mengesyaki bahawa adanya penipuan dan manipulasi undi yang terjadi pada hari
pemilihan. Jelas, bahawa segala aduan ini datang dari ahli mereka sendiri dan
ROS hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai sebuah agensi yang memantau
ketelusan perjalanan sesebuah pertubuhan,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini
hari ini.
Justeru itu, tindakan memfailkan permohonan bagi menghalang pengiktirafan ROS
itu merupakan satu tindakan yang menurut Salleh sebagai satu cubaan untuk
memperlihatkan kepada rakyat dan penyokong mereka, seolah-olah kepimpinan DAP
yang menjadi mangsa dalam soal ini.
“Sedangkan pemimpin-pemimpin parti dan juga ahli DAP sendiri yang merupakan
penyebab kepada berlakunya segala perkara yang akhirnya mengakibatkan kepada
pemilihan CEC kali kedua ini tidak diiktiraf oleh ROS.
“Ternyata, DAP cuba untuk mencipta satu senario yang menggambarkan
seolah-olah mereka ini menjadi mangsa kepada ROS bagi mendapatkan simpati ahli,
penyokong dan rakyat sedangkan hakikatnya pemimpin mereka sendiri yang
melanggar undang-undang serta terus berdegil dan enggan membetulkan segala
kesilapan mereka,”jelasnya.
Kata Salleh lagi, DAP sengaja menuduh ROS menzalimi parti tersebut dengan
mencari pelbagai alasan untuk tidak mengiktiraf pemilihan CEC mereka yang
diadakan kali kedua, semata-mata untuk mengalihkan segala kelemahan, kepincangan
dan ketidaktelusan mereka kepada pihak lain, khususnya kerajaan BN.
“Saya lihat, tindakan itu adalah cubaan DAP untuk mengalihkan kesalahan
mereka kepada pihak lain. Pemimpin DAP, sepatutnya menjelaskan mengapa perkara
ini berlaku dan mengapa tidak ada sebarang pembetulan kesilapan yang mereka
lakukan di dalam pemilihan CEC ini seperti yang telah diminta oleh ROS
berkal-kali.
“Saya mahu memperingatkan DAP bahawa UMNO sendiri sebagai parti pemerintah
tidak pernah terkecuali daripada mengikuti peraturan dan undang-undang
sepertimana yang berlaku dalam krisis UMNO pada tahun 1988.
“Tetapi apa yang dilakukan oleh kepimpinan DAP sebenarnya adalah lebih teruk
dan tidak beretika kerana DAP bukan saja melanggar peraturan ROS tetapi
sebenarnya kepimpinan parti tersebut telah melanggar perlembagaan parti mereka
sendiri,” akhiri beliau. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment