Tak Perlu Hairan, Sistem Keadilan Pun Anwar Tak Hormat – Dr Hanafiah
KUALA LUMPUR, 2 April – Apa yang nak dihairankan dengan tindakan Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencalonkan diri untuk bertanding
jawatan Presiden PKR bagi menentang isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail sedangkan sikapnya yang seringkali bertindak bertentangan dengan
undang-undang bukanlah perkara yang baru, kata penganalisis politik tempatan,
Prof. Madya Dr. Hanafiah Harun.
Ujar beliau, apabila seseorang yang tidak menghormati undang-undang melakukan
sesuatu tindakan maka tentunya dia tidak akan endah kepada sebarang perundingan,
sistem atau organisasi kerana tentunya individu terbabit akan memanipulasikan
undang-undang yang ada untuk kepentingan dirinya sendiri.
“Sepanjang menjawat ketua pembangkang dan juga Ketua Umum PKR, apakah budi
atau sumbangan Anwar yang boleh dibanggakan selain daripada pelbagai perkara
yang hanya dicetuskan bagi mewujudkan populariti ke atas dirinya sendiri,”
katanya kepada UMNO-Online.
Dalam hal ini, beliau merujuk kepada tindakan Anwar yang mencalonkan dirinya
bertanding jawatan presiden PKR sedangkan dalam masa yang sama beliau berdepan
risiko hilang kelayakan jika menang disebabkan hukuman penjara lima tahun
dihadapinya atas sabitan kes liwat.
Ini adalah berdasarkan kepada Seksyen 9A (1)(b) Akta Pertubuhan (ROS) 1966
iaitu seseorang tidak boleh menjadi atau kekal memegang jawatan dalam pertubuhan
yang berdaftar jika disabitkan dengan apa-apa kesalahan dan didenda tidak kurang
daripada RM2,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu
tahun.
“Tindakan Anwar yang tetap mahu bertanding jawatan tertinggi parti terbabit
seolah-olah ingin mencabar ROS walhal beliau telah mengetahui segala kesan dan
natijah yang akan dihadapi sekiranya perancangannya diteruskan juga. “Tindakan Anwar ini adalah ‘beraja di mata bersultan di hati’ yang mana
mengibaratkan dirinya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan seakan ingin
menggambarkan kepada masyarakat bahawa pelbagai insiden yang berlaku adalah
hasil daripada konspirasi politik pihak tertentu.”
Beliau yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyorot
kembali pelbagai perkara yang membabitkan Anwar sehinggakan banyak berlaku
kekeliruan dan mengundang keresahan masyarakat. “Bermula dari Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang dijadikan sebagai
batu loncatan untuk beliau masuk ke Parlimen sehinggalah yang terbaru PRK Kajang
juga menjadi satu lagi sandiwaranya dalam memastikan cita-cita politiknya
tercapai walhal beliau amat arif berkaitan perundangan dan keadilan sebenar.
“Bukan itu sahaja, beliau turut menggunakan rakyat sebagai alternatif dengan
harapan kerajaan yang ada sebagaimana hari ini tumbang dan kucar-kacir melalui
pelbagai demostrasi atas nama reformasi, Bersih, Bangkit, Bantah dan macam-macam
lagi dicetuskan namun alhamdulillah kerana kesemuanya dapat ditangani,”
katanya.
Ujarnya, sebagai rakyat dalam sebuah negara demokrasi sememangnya benar
bahawa mereka berhak memilih namun malangnya cerita yang ditaburkan oleh Anwar
adalah palsu dengan Wan Azizah selaku Presiden PKR pula seakan-akan bisu untuk
menolak pelbagai dakwaan negatif yang dibuat oleh suaminya sendiri.
“Apa yang saya lihat, ahli-ahli PKR ibarat manusia yang terpesona dengan
cerita-cerita yang ditaburkan oleh Anwar sehinggakan mereka sendiri gagal
mengadili dan melakukan penilaian antara Anwar, PKR dan kepimpinannya berbanding
dengan Barisan Nasional (BN), UMNO serta sumbangan kerajaan selama ini.”
Jelas beliau lagi, politik Anwar berteraskan matlamat menghalalkan cara
termasuklah dalam pemilihan PKR itu sendiri yang mana tentunya dia telah
mempunyai jawapan atas segala tindakan yang dibuat walaupun secara jelas
bertentangan dengan undang-undang, adab dan tatsusila kewajaran manusia.
“Apabila anggota PKR itu sendiri menerima pencalonan Anwar untuk bertanding
jawatan yang sama dengan isterinya, maka ini menunjukkan parti itu sendiri tidak
mempunyai nilai dan tidak menghormati perundangan dan prinsip yang diwujudkan
sebagai aturan dalam kehidupan manusia.
“Ini adalah sama dengan tindakan Anwar dalam berdepan kesalahan liwat yang
dihadapinya dengan individu secara personal namun sehingga kini beliau
menyalahkan UMNO dan kerajaan atas dakwaan konspirasi politik.”
Tambahnya lagi, dalam hal berkaitan undang-undang ini adalah lebih baik
sekiranya Anwar mengambil iktibar dari rakan sekutunya iaitu Karpal Singh yang
melepaskan jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP lantaran sedar dengan kaitan sabit
kesalahan di mahkamah dengan jawatan politik yang disandang. –
MediaUMNO
No comments:
Post a Comment